DOHA – Pengendali Indonesia, Shin Tae-yong mengakui, sangat gembira apabila kerja keras pasukan membuahkan hasil selepas sah layak ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah penyertaan Piala Asia.
Sebagai rekod, skuad Sang Garuda berjaya menamatkan saingan kumpulan dalam kelompok empat negara di tempat ketiga terbaik selain daripada Jordan, Palestin dan Syria.
Kata Tae-yong, kejayaan yang diraih adalah hasil kerja keras serta komitmen penuh diberikan oleh semua pihak khususnya barisan pemain muda yang dibawa pada kempen 2023 di Qatar kali ini.
“Saya sangat gembira apabila kita berjaya melangkah ke pusingan seterusnya dengan meraih satu kemenangan dan dua kekalahan. Namun, apa yang penting anda boleh lihat kerja keras pasukan sepanjang kejohanan ini.
“Saya sangat bersyukur kerana tanpa kerja keras, mungkin Tuhan juga tidak mahu memberikan ganjaran seperti ini. Sekarang peluang kita buktikan keupayaan di pusingan 16 negara terbaik,” kata pengendali import dari Korea Selatan itu.
Sementara itu, pemain Sang Garuda, Adam Alis mengakui, barisan pemain hampir sahaja ‘kemas bagasi’ sebelum menyaksikan Kyrgyzstan berjaya mengikat Oman 1-1 pada aksi terakhir Kumpulan F malam kelmarin.
“Allah adalah sebaik-baik perancang. Kami semua hampir sahaja pulang ke tanah air,” kata pemain tengah berusia 31 tahun itu. – AGENSI