CAMERON HIGHLANDS – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memberi tumpuan pencarian tiga lagi mangsa runtuhan tanah di Kampung Batu 59, Kampung Raja yang masih hilang di sektor B dan C.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, lokasi tersebut diberi tumpuan berdasarkan penemuan mayat terbaharu iaitu mangsa kedua di sektor B.
“Lokasi yang terjejas akibat runtuhan tanah itu berkeluasan 50 meter dan kita pecahkan operasi pencarian kepada empat sektor.
“Mangsa pertama ditemui di sektor C, manakala mangsa kedua pula di sektor B. Jadi, sekarang kita beri tumpuan carian di dua sektor membabitkan keluasan 25 meter,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Menurut Ismail, kejadian tanah runtuh itu berlaku pada ketinggian kira-kira 80 meter dengan anggaran kecerunan 35 hingga 45 darjah dan menimpa sebuah rumah pekerja yang dihuni lima mangsa berkenaan.
Katanya, operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) serta bantuan keanggotaan dari Bomba Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kita dapati ketinggian tanah berada pada paras dua meter dan daripada pemerhatian awal, kemungkinan tiga lagi mangsa yang masih tertimbus itu berada di lokasi yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE