CAMERON HIGHLANDS – Mayat kedua tragedi tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah di Batu 59 Kampung Raja di sini ditemukan tertimbus kira-kira satu meter daripada lokasi mayat pertama ditemukan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat kedua ditemukan kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.
“Mayat mangsa ditemukan pada kedalaman 1.2 meter dan operasi diteruskan bagi mencari baki tiga lagi mangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail operasi mencari dan menyelamat diteruskan dengan jumlah keanggotaan dari JBPM seramai 53 orang termasuk 19 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Bomba (STORM) dan empat daripada Unit Pengesan K9 bersama dua ekor anjing.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan tiga lagi mangsa termasuk seorang wanita.
Katanya, operasi berdepan kesukaran kerana laluan ke lokasi kejadian terputus berikutan berlaku beberapa runtuhan kecil.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa dijalankan selepas kita menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 2.10 pagi.
“Mayat mangsa pertama dijumpai pada pukul 5.40 pagi tadi diikuti mayat mangsa kedua pada pukul 12.05 tengah hari. Kedua-dua mangsa adalah lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE