PUTRAJAYA – Isu pemansuhan skim pencen penjawat awam boleh dibahaskan di Dewan Rakyat kelak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, semua orang boleh memberi cadangan dan syor mengenai perkara itu, namun akhirnya ia kekal menjadi polisi ditetapkan kerajaan.
“Kami dalam dewan (Parlimen) nanti akan berbahas, menteri kena jawab, ‘backbenchers’ (penyokong kerajaan) boleh bangkitkan isu itu termasuk pembangkang.
“Saya kira cadangan dan syor oleh segelintir pihak itu ada meritnya dan semua berhak memberi cadangan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.
Katanya, beliau merasakan langkah (pemansuhan skim pencen penjawat awam) ada baiknya selain mengakui ada segelitir penjawat awam memilih mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).- KOSMO! ONLINE