PETALING JAYA – Lokasi kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Cameron Highlands, Pahang awal pagi tadi bukanlah berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu hasil semakan pihaknya dengan JKR berhubung insiden tersebut.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya bersama JKR akan terus memantau situasi dan bersedia untuk menyalurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan.
“Saya amat berdukacita dengan insiden tanah runtuh yang dilaporkan berlaku pada awal pagi tadi di Cameron Highlands.
“Saya sudah mendapatkan laporan dari JKR dan dimaklumkan kejadian berlaku melibatkan sebuah rumah di Batu 59, Kampung Raja dan mengorbankan seorang mangsa sementara empat yang lain dilaporkan masih hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, JKR ketika ini turut membantu operasi terutama dalam kerja-kerja pembersihan tanah runtuh di laluan masuk kawasan kejadian bagi memudahkan operasi SAR dilakukan.
Dalam masa sama, Nanta menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki maut manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden tanah runtuh itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dilapor berkata, berdasarkan maklumat awal, terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masih berada dalam kawasan runtuhan. – KOSMO! ONLINE