PETALING JAYA – Penyanyi Amylea Azizan menggesa seorang ejen insurans yang menggunakan kisah penyakit ayahnya sebagai modal promosi agar membuat permohonan maaf terbuka atau berdepan tindakan undang-undang.
Katanya, individu terbabit juga diminta memadamkan kandungan dalam media sosial yang dianggap memfitnah bapanya, Allahyarham Azizan Zainal Abidin.
“Sebelum saya saman, tolong beritahu pemilik akaun tersebut turunkan (kandungan media sosial) dan buat permohonan maaf secara terbuka.
“Disebabkan hantaran itu, telah jatuh fitnah terhadap arwah ayah. Anda semua kena faham ketika Covid-19 hospital kerajaan penuh,” katanya dalam hantaran Instagram Story, semalam.
Komposer lagu Melepaskanmu itu turut berkongsi tangkap layar akaun media sosial milik individu yang didakwa turut membuatkan keluarganya tersinggung.
Baginya, seorang ejen insurans perlu ada kredibiliti serta bersikap telus, bukan mempergunakan kesusahan orang lain demi mengaut keuntungan semata-mata.
“Kalau nak jual insurans pun beragaklah. Jangan sampai ‘posting’ kau buatkan sakit hati keluarga aku.
“Dalam masa sama buat orang (netizen) mengata keluarga kami dan arwah sekali.
“Kalau bapa kau tak diterima di hospital kerajaan sebab penuh kes Covid-19, kau biarkan begitu sahaja?” ujarnya.
Terdahulu, pihak yang didakwa mempergunakan kisah ayah Amylea memaparkan berita penyanyi terbabit meminta sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan sakit jantung bapanya siaran Julai 2021.
Perkara tersebut dipercayai dilakukan individu terbabit sebagai cara untuk menunjukkan kepentingan mengambil insurans.
Menurut penggiat seni berusia 38 tahun itu, doktor pada waktu itu menasihatkannya membawa ayah ke pusat perubatan swasta disebabkan wad hospital penuh susulan peningkatan kes Covid-19.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 11 Ogos 2021. – KOSMO! ONLINE