PETALING JAYA – Aktivis masyarakat, Muhammad Farhan Param Kunaseigaran, 37, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Param, mengejutkan puluhan ribu pengikutnya di media sosial apabila mengumumkan telah selamat berkhatan, baru-baru ini.
Menerusi Facebook, Cikgu Param turut berkongsi hantaran lucu yang mengatakan dirinya sebelum itu di’scam’, apabila dimaklumkan kenalan bahawa sakit berkhatan diumpamakan seperti ‘digigit semut’.
“Alhamdullilah, saya telah selamat berkhatan dan rupanya saya kena ‘scam’ berkhatan itu macam ‘digigit semut’,” katanya.
Hantarannya itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengusik Cikgu Param yang sedang melalui tempoh ‘berpantang’ itu.
“Memang macam kena gigit semut, tapi 100 ekor semut bukan seekor,” ujar Adam Muhammad Redza.
“Tak nak gelak tapi terpaksa gelak,” komen Fadamir Saad.
“Lupa nak cakap, semut tu sebenarnya semut Ipoh yang hitam tu Param,” usik Smith Ryder.
Cikgu Param ketika dihubungi Kosmo! berkata, antara sebab dia membuat keputusan untuk berkhatan adalah bagi menghilangkan perasaan was-wasnya ketika bersolat.
“Ada beberapa sebab antaranya yang utamanya adalah aspek kebersihan. Sejak peluk Islam September 2022 lalu, saya sering ada rasa was-was apakah solat saya sah?
“Kerana itu walaupun takut dan risau, saya nekad putuskan untuk berkhatan baru-baru ini,” kongsinya.
Jelasnya yang juga bertugas sebagai Penolong Pegawai Penerangan di Hospital Melaka itu, semangatnya pulih apabila sepanjang sebelum dan selepas berkhatan, dia dibantu oleh dua orang sahabat baiknya iaitu pempengaruh, Dr Taufiq Razif serta Qosim Rodzuan.
“Saya sangat terharu, Dr Taufiq bersama Qosim yang bantu sediakan tempat untuk saya ‘berpantang’ di rumah.
“Bukan itu saja, awal pagi mereka berdua dah terpacak di rumah untuk jemput saya dan bawa makan dulu sebelum ke klinik dan hantar pulang.
“Semasa proses khatan pun, salah seorang temankan saya di sebelah. Walaupun dah tiada keluarga, saya tidak rasa keseorangan kerana adanya teman seperti ini,” luahnya.
Cikgu Param memeluk Islam di Masjid Taman Bandar Baru, Sungai Lalang selepas solat Jumaat, pada 9 September 2022.
Dia melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof selain disaksikan beberapa jemaah lain termasuk sahabat handai.
Menurutnya, dia sudah lama berhasrat memeluk Islam dan kejadian hitam apabila tiga ahli keluarga iaitu ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 2021, menguatkan lagi keinginannya itu.
Namun, dia terpaksa berkabung selama setahun selepas pemergian mereka sebagai upacara penghormatan terakhir buat ahli keluarga mengikut agamanya ketika itu.
“Sejak kecil saya memang terpikat dengan Islam cuma benar kata orang hidayah itu milik Allah, selepas 35 tahun baru hasrat itu tercapai.
“Sejak kecil juga saya sering berpuasa sebab seronok sangat tunggu waktu berbuka, malah ayah selalu belikan juadah di bazar Ramadan untuk diberi kepada jiran,” ceritanya.
“Saya membesar dalam komuniti Melayu dan bapa walaupun hanya tukang sapu, selalu pesan supaya bantu semua orang terutamnaya jiran tidak kira agama dan bangsa. – KOSMO! ONLINE