fbpx

Ada batu api, Shukri Yahaya bersalah kepada isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Shukri Yahaya rasa bersalah terhadap isteri selepas melakonkan adegan yang disifatkan sebagai 'soft porn' dalam sebuah drama - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Pelakon Shukri Yahaya mengakui dihimpit perasaan bersalah terhadap isterinya, Tya Adnan selepas melakonkan adegan ‘bilik air’ bersama Alya Iman.

Kata pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Yahaya itu, dia akan lebih mengutamakan sensitiviti insan tersayang mahupun penonton dengan lebih berhati-hati menjayakan sesuatu babak lakonan.

“Nak kata isteri saya okey dengan adegan antara saya dengan Alya Iman itu tidaklah, saya sendiri pun macam ‘alamak, mesti isteri aku akan terasa ni buat babak ini’. Saya memang rasa bersalah.

“Saya terus maklumkan pada dia mengenai perkara tersebut, tambahan pula itu adalah hari pertama penggambaran bagi drama bersiri 28 episod terbabit, masing-masing ikut skrip saja.

“Apa pun saya lega isteri sangat memahami, tapi selepas ini saya akan sentiasa menjaga perasaan dan sensitiviti semua pihak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, aktor yang membawakan karakter suami narsistik bernama Azim Hisbullah dalam naskhah Layang-Layang Perkahwinan itu pelik dengan tindakan segelintir individu yang menjadi batu api apabila menghantar pautan video kepada isterinya.

Shukri tertanya-tanya motif sebenar pihak terbabit yang seakan-akan sengaja menangguk di air keruh, namun percaya tindakan sedemikian bagi mencetuskan kemarahan Tya.

“Ketika babak tersebut ditularkan, saya dan Tya tidak bertelagah kerana isteri saya sejak dahulu lagi memilih untuk tidak menonton drama lakonan saya.

“Tapi ada juga segelintir pihak cuba melakukan provokasi dengan menghantar klip video tersebut ke akaun media sosial Tya.

“Mujur dia positif dengan tidak menjadikan hal sebegitu sebagai isu,” ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran Layang-Layang Perkahwinan, baru-baru ini.

Diminta berkongsi tip menjaga keharmonian rumah tangga, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui, komunikasi selain sentiasa berterus terang mampu mengelakkan salah faham.

Saya banyak bercerita dengan isteri. Contohnya kalau balik dari lokasi penggambaran saya akan maklumkan hari ini ‘shooting’ dengan siapa dan sebagainya.

“Kadang-kadang saya ambil gambar saya ketika ‘shooting’ untuk bagi perkembangan terkini supaya dia tahu apa saya selalu buat di set,” ujarnya.

Sebelum ini, video tular adegan antara Azim yang juga sebagai suami kepada Saida Amanda (Ezzanie Jasny) sedang mandi sebelum didatangi kekasih gelapnya, Tsuraya (Alya).

Shukri yang tidak mengenakan baju kemudian bertindak menarik tangan kekasihnya ke dalam bilik air sehingga mencetuskan persepsi kurang manis, sekali gus membuatkan netizen menyifatkan adegan tersebut sebagai ‘soft porn’.

Begitupun, aktor yang diperkenalkan menerusi filem Jiwa Taiko pada 2012 itu telah membuat permohonan maaf atas kekhilafannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI