KUANTAN – Seorang pemilik kedai 3D Sungai Lembing ditemukan lemas selepas dipercayai hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air di pekan Sungai Lembing, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Lee Yie Chong, 62, ditemukan terdampar di kawasan longkang di Kampung Jelihan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras.
“Hasil siasatan awal, sebelum kejadian mangsa sekeluarga berada di kedai miliknya untuk mengemas dan memindahkan barang-barang ke tingkat atas bangunan kerana pekan Sungai Lembing sedang mengalami banjir kilat dan air Sungai Lembing sedang melimpah dipercayai disebabkan hujan turun sejak pukul 3 petang lagi.
“Selepas mengemas dan menutup kedai mereka telah meredah air banjir menuju ke kereta yang diletakkan di tempat tinggi di seberang jalan untuk balik ke rumah.
“Semasa sedang meredah air banjir pada paras pinggang mangsa telah memberitahu bahawa dia telah penat untuk meredah dan semasa isterinya menoleh ke belakang mendapati mangsa telah hilang dipercayai dihanyutkan arus deras,” katanya.
Katanya, Balai Polis Sungai Lembing menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 7.20 malam yang memaklumkan mangsa terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku berhampiran kedai 3D miliknya.
Beliau memberitahu, ketika kejadian mangsa menyeberangi jalan tersebut bersama isteri; Kwong Kwai Fun, 63, dan anaknya, Kwong Kwai Heu, 37.
“Isteri mangsa dan anaknya telah bertindak berpaut pada tiang lampu untuk menyelamatkan diri sehinggalah pasukan penyelamat tiba di lokasi.
“Kira-kira pulul 7.30 malam, anggota penyelamat telah bergegas ke lokasi dan hanya berjaya menyelamatkan kedua daripada tiga mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE