MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menyita sebuah lori yang dipercayai dalam perjalanan untuk menyeludup minyak diesel bersubsidi di stesen minyak berhampiran di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Firdaus Shariff berkata, kenderaan berat itu berjaya dikesan dalam operasi bersepadu dilaksanakan di lokasi itu selama tiga jam yang berakhir pada pukul 11 malam.
Katanya, pemeriksaan dilakukan penguat kuasa ke atas lori dipandu lelaki berusia 30-an itu telah menemui sebuah tangki kosong disyaki diubah suai khusus untuk membawa muatan minyak diesel.
“Apabila kita periksa bahagian dalam lori, ada sebuah tangki kosong yang mampu mengisi sebanyak 3,000 liter diesel dan kita syaki kenderaan ini memang dalam perjalanan ke stesen minyak berhampiran untuk melakukan kegiatan itu.
“Kenderaan ini disita kerana melakukan kesalahan pengubahsuaian dan muatan itu tidak sesuai untuk lori jenis ini, kita akan semak secara teknikal beberapa kesalahan lain,” ujarnya kepada pemberita selepas tamat operasi di sini, malam tadi.
Tambahnya, pemandu terbabit juga turut melakukan kesalahan kerana tidak memiliki lesen pengangkutan barang (GDL) dan tindakan sita dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Dalam operasi ini sebanyak 755 kenderaan persendirian dan perdagangan diperiksa dengan 275 saman dikeluarkan terhadap 132 pemandu serta penunggang motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Motosikal kekal menjadi kenderaan paling banyak dikenakan tindakan saman iaitu 71 buah atas kesalahan tiada cukai jalan, lesen dan ubah suai kenderaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE