fbpx

Piala Asia: Cetus kembali magis 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU Malaya dituntut untuk turun dengan aksi sepenuh hati sekiranya berhasrat untuk mengejutkan Korea Selatan malam ini. - FB FAM

PENGALAMAN skuad Harimau Malaya yang pernah melakar kemenangan ke atas Korea Selatan pada temasya Sukan Asia 2018 ditagih pada perlawanan terakhir Piala Asia 2023 malam esok.

Sebagai rekod, skuad bawah 23 (B-23) negara berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan skuad muda Taeguk Warriors pada aksi pertama kumpulan Sukan Asia 2018 di Indonesia dengan kemenangan 2-1.

Pada perlawanan itu, Malaysia yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee berjaya mengejutkan pasukan pilihan hasil jaringan dua gol menerusi Safawi Rasid dengan pasukan lawan meraih gol saguhati hasil ledakan Hwang Ui-jo.

Kemenangan tersebut dianggap antara yang dikenang oleh peminat sukan tanah air meskipun skuad negara tersingkir pada pusingan 16 terbaik dengan Korea Selatan berjaya menamatkan saingan dengan memenangi pingat emas.

Selain Safawi, empat lagi pemain yang mewakili skuad B-23 ketika itu masih kekal bersama pasukan kebangsaan pada kempen Piala Asia 2023 seperti Faisal Halim, Akhyar Rashid, Dominic Tan dan Syahmi Safari.

Salah seorang pemain yang berada dalam skuad Sukan Asia 2018, Kogileswaran Raj mengakui sikap positif rakan sepasukan serta keyakinan barisan kejurulatihan menjadi salah satu punca pasukan mampu lakar kejutan.

“Ketika itu, barisan pemain percaya tiada apa yang mustahil meskipun menentang Korea Selatan, pasukan yang nyata lebih hebat berbanding kita.

“Saya juga masih ingat jurulatih (Kim Swee) ingatkan pasukan untuk bermain dengan corak permainan intensiti tinggi dan bermati-matian kerana kita tidak rugi apa-apa jika kalah.

“Justeru, saya harap pengalaman sama dapat dilakukan pada aksi bertemu Korea Selatan pada Piala Asia nanti dalam usaha melakar keputusan positif,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sementara itu, Safawi mengakui kunci utama untuk mengekang pasukan Taeguk Warriors daripada mendominasi perlawanan adalah merantai pergerakan kapten, Son Heung-min.

“Semua orang tahu mengenai Son Heung-min pemain terbaik, saya suka bercakap dengan rakan sepasukan. Saya tahu kemampuannya.

“Satu lawan satu mungkin dia boleh, tapi dua lawan satu, tiga lawan satu. Dia pun manusia biasa,” katanya ketika dipetik daripada sebuah portal sukan.

Korea yang kini dikendalikan oleh Jurgen Klinsmann turut mengekalkan enam tonggak yang berjaya menjuarai temasya Sukan Asia 2018 termasuk Heung-min.

Dua penjaga gol, Song Bum-keun dan Jo Hyeon-woo serta pemain utama Kim Min-jae, Hwang In-beom dan Hwang Hee-chan turut menjadi tunjang penting jaguh Asia Timur itu ketika ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI