fbpx

Noh Salleh enggan komen tuntutan ibu kandung Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh Salleh

PETALING JAYA – Penyanyi Noh Salleh enggan memberikan respons berhubung tiga tuntutan dibuat wanita bernama Athira yang mendakwa dirinya adalah ibu kandung kepada anak angkatnya, Musa.

Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh, 39, ketika dihubungi memberitahu dia sedang sibuk sebelum mematikan panggilan telefon.

“Tak nak, saya busy (sibuk) sekarang,” katanya ringkas sebelum mematikan panggilan telefon.

Kosmo! Online hari ini melaporkan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Athira membuat tiga tuntutan terhadap vokalis kumpulan Hujan itu.

Antara tuntutan yang dibuat adalah mahu Noh menarik balik kenyataan yang dikongsikan dalam media sosial, membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam gambar yang mendedahkan wajah anaknya bernama Musa itu dalam tempoh 24 jam.

Kata Athira lagi, Noh juga perlu memohon maaf atas kekeliruan yang ditimbulkan dalam kenyataannya menerusi program Melodi yang disiarkan pada 14 Januari lalu.

Menerusi temu bual yang disiarkan dalam program hiburan itu, Noh mendakwa Athira memberi kebenaran untuknya menjaga Musa dengan rela hati.

Susulan itu, Athira sewaktu ditemui Kosmo! Online mendakwa dirinya dimanipulasi oleh penyanyi tersebut.

“Apa yang mahu saya kongsikan di sini, sebagai ibu kandung kepada Musa, saya sangat kecewa dengan apa yang terjadi. Saya rasa dimanipulasi dan digunakan untuk kepentingan dia (Noh).

“Saya juga kecewa kerana dia menggunakan saya dengan menyatakan Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Disebabkan itu, saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat kerana menggunakan nama saya dalam media.

“Saya mahu Noh membuat permohonan maaf secara terbuka. Sebelum ini dia membuat perkongsian menerusi media, jadi saya mahu dia buat permohonan maaf menerusi media juga,” katanya.

Terdahulu, Noh membuat kenyataan menerusi program Melodi bahawa tiada unsur penculikan seperti yang didakwa, malah dia sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung kanak-kanak berusia dua tahun itu untuk menjaganya.

“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertakan dengan dokumen.

“Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk,” katanya.

Sebelum ini, berlaku kekecohan apabila satu laporan polis dibuat bekas isterinya iaitu Mizz Nina yang mendakwa Noh menculik Musa daripada jagaannya dengan bantuan pembantu rumah.

Begitupun, Noh menangkis tuduhan tersebut dengan menegaskan tiada unsur penculikan seperti didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Pada Disember lalu, Noh meluahkan rasa rindu terhadap Musa bersempena ulang tahun keduanya, sekali gus buat kali pertama mendedahkan wajah anak kecil itu.

Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun bercerai pada Ogos 2022 tetapi tidak dikurniakan zuriat sebelum sepakat mengambil Musa sebagai anak angkat.

September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa, manakala Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik dari Amerika Syarikat Essam Muhammad pada suku kedua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI