PETALING JAYA – Mengakui tanggungjawab ibu tunggal sangat berat, pelakon Rita Rudaini kini sudah sampai di tahap tidak lagi mengenal erti penat dalam membesarkan anak-anak seorang diri.
Seiring waktu bergulir, pemilik nama penuh Rita Rudaini Mokhtar itu bagaikan sudah kebal dengan segala keperitan yang dilalui sejak dua permata hatinya masih kecil sehingga kini mencecah usia remaja.
“Ibu tunggal macam saya ini tak tahulah bila kali terakhir perkataan penat dan letih keluar dari mulut atau bila kali terakhir menangis kepenatan.
“Saya pun dah tak ingat dan tak sempat melayan perasaan itu kerana terleka dengan figura anak kecil yang sudah semakin membujang depan mata saya,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Malah, aktres berusia 48 tahun itu tidak kisah berhabisan wang ringgit demi melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran selain menimba ilmu di tempat yang selesa dan lebih baik.
“Susah payah saya berbaloi apabila saya beri pendidikan terbaik dan selesa untuk anak-anak.
“Bukan nak berlagak bagi sekolah swasta tapi saya tak pernah rasa masa kecil, apa salahnya saya tengok anak-anak saya merasa.
“Memang belanja agak besar untuk saya tanggung semuanya seorang diri tapi saya rempuh juga dalam keadaan struggle (susah) dan ada masa nyawa-nyawa ikan jugalah,” jelasnya lagi.
Tidak hanya itu, Rita turut memberitahu dirinya terpaksa menggunakan semua wang simpanan disebabkan tidak menerima sebarang tawaran berlakon sepanjang pandemik Covid-19 disebabkan enggan mengambil suntikan vaksin.
“Saya pernah tiga tahun hilang pekerjaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sama macam orang lain tapi yang makan gaji, gaji mereka tetap jalan, yang tak makan gaji macam saya?
“Lagi pula saya tidak dibenarkan bekerja sebab tidak mengambil vaksin. Macam mana saya dan anak-anak mahu teruskan kehidupan?
“Segala wang simpanan saya gunakan dan berharap hanya pada Allah permudahkan segala-galanya buat kami,” kongsinya panjang lebar.
Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan pada 2008 namun perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan apabila bercerai pada September 2013.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia 13 tahun. – KOSMO! ONLINE