PETALING JAYA – Nasi yang disimpan seharian di dalam peti sejuk adalah cara terbaik menikmati makanan ruji tersebut.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM), selepas nasi tersebut disejukkan kira-kira 20 jam, ia perlu dipanaskan semula sebelum dimakan.
Jelas PHM, ia adalah kaedah terbaik bagi mengurangkan kadar gula dalam nasi.
“Nasi adalah makanan ruji utama rakyat Malaysia. Ia adalah sejenis makanan yang memiliki indeks glisemik yang sederhana-tinggi terutamanya nasi yang panas baru dimasak.
“Makanan indeks glisemik yang tinggi menyebabkan paras gula dalam darah meningkat secara mendadak.
“Cara untuk mengurangkan Indeks Glisemik nasi adalah dengan menyimpan nasi dalam peti sejuk sebelum dipanaskan semula dan dimakan,” kata PHM dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam perkongsian itu juga, PHM memberitahu, proses tersebut membantu meningkatkan kandungan kanji rintang dan menyebabkan ia lambat dicerna selain mengurangkan kenaikan paras gula dalam darah.
“Namun begitu, kandungan gula atau beban glisemik (GL) adalah sama. Jika makan banyak memang boleh menyebabkan kegemukan tidak kira nasi panas atau nasi sejuk.
“Nasihat pemakanan yang lebih baik adalah dengan mengawal kuantiti. Jangan makan terlalu banyak nasi.
“Penuhkan pinggan dengan sayuran, protein dan minyak kelapa (lemak sihat),” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE