JASIN – Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memperketatkan pemakaian tag haiwan ternakan terutama lembu bagi memudahkan pihak berwajib mengesan pemiliknya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada minggu hadapan.
Kata beliau, pemakaian tag itu penting bagi tujuan pengumpulan maklumat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memandangkan masih ramai penternak yang tidak mendaftarkan ternakan mereka.
“Kalau dapat tangkap (lembu) kita boleh tahu siapa pemiliknya, kita juga akan melihat kepada peruntukan undang-undang jika mereka tidak tag lembu maka kita boleh mengambil tindakan.
“Bagi pihak kerajaan negeri kita tahu berapa jumlah lembu yang sedang diternak di Melaka, jadi kalau lembu yang tidak di tag kita akan anggap itu adalah lembu terbiar,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi lelongan haiwan ternakan di sini, hari ini.
Terdahulu, sebanyak lima ekor lembu hasil sitaan dalam satu operasi pada 13 Januari lalu berjaya dilelong dengan jumlah kutipan RM11,700.
Harga tertinggi bidaan adalah RM3,500 bagi seekor lembu manakala paling rendah adalah RM1,600.
Tambahnya, satu operasi besar-besaran akan dijalankan dalam waktu terdekat bagi menangkap lembu yang berkeliaran di seluruh Melaka. – KOSMO! ONLINE