fbpx

Kisah epik konduktor muzik ‘dua alam’ dalam Maestro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bradley Cooper dan Carey Mulligan dalam filem biopik epik, Maestro yang menjadi antara kegemaran sepanjang tahun 2023.

FILEM arahan dan lakonan penghibur berbakat besar,  Bradley Cooper berjudul Maestro mula diluncurkan sekitar hujung 2023, namun impaknya masih berbahang sehingga kini, tambahan pula musim Oscar bakal menjelang tiba. 

Naskhah yang mengisahkan jatuh bangun kehidupan konduktor muzik terkemuka dunia, mendiang Leonard Bernstein tersebut merupakan antara pesaing sengit Anugerah Akademi ke-96 pada Mac nanti. 

Kalau ada ruang untuk menyifatkan kemenjadian Maestro di mata penulis, filem berkenaan barangkali antara kerja seni terbaik yang pernah dikongsikan Cooper kepada dunia. 

Buat mereka yang mengekori rapat naratif seni ditonjolkan Cooper menerusi filem-filem terdahulu seperti Licorice Pizza, Wet Hot American Summer, Silver Linings Playbook dan A Star Is Born, sukar untuk menidakkan kehebatan lakonan dan pengarahan lelaki itu dalam naskhah kali ini. 

Keserasian lakonan antara dua pelakon utama Cooper dan Mulligan merupakan antara penguat utama jalan cerita filem Maestro.

Sinergi Cooper, Mulligan

Pertama sekali, dari segi sinergi atau keserasian dua watak utama iaitu Felicia Montealegre lakonan Carey Mulligan dan Bradley (Leonard Bernstein), mereka menjalankan tangggungjawab dengan cukup sempurna. 

Watak Montealegre dijayakan Mulligan sangat berbekas. Seperti dalam cerita sebenar, Mulligan menjadi epitome seorang wanita yang berkorban jiwa raga menjadi tulang belakang suaminya biarpun terpaksa menelan pahit bahawa si lelaki itu bermain kayu tiga. 

Bermain kayu tiga bukan dengan wanita lain tetapi dengan kaum sejenis. Itu ‘penyakit’ yang sukar dipadam Bernstein walaupun sudah menggalas status suami dan memiliki tiga orang anak, Jamie, Alexander dan Nina. 

Cooper sebagai Leonard juga langsung tidak mengecewakan. Gambaran karakter seorang lelaki agung yang tersepit antara kedangkalan hidup dan kemasyuran profesi maestro menjadi satu lagi pembuktian bahawa manusia tidak pernah sempurna. 

Dari kaca mata umum, sesiapa pun mungkin dilihat menjalani kehidupan yang serba mewah, bergaya dan selalu mengukir senyuman tetapi sengsara gejolak jiwa, hanya diri sendiri dan Tuhan yang tahu. 

Hidung buatan 

Pemilihan Cooper sebagai Bernstein dan Mulligan sebagai sebagai isterinya sangat bertepatan. Ditambah juga dengan watak pembantu, David Oppenheim (lakonan Matt Bomer) iaitu ‘teman’ Bernstein cukup memberikan dampak.

Bagaimanapun, pada hemat peribadi penulis, kalaulah Cooper hanya memberi fokus melantunkan watak Bernstein dan urusan pengarahan diserahkan kepada orang lain, barangkali Maestro akan lain kejadiannya.

Lakonan dan arahan Bradley Cooper dalam filem Maestro menguatkan lagi kredibiliti lelaki itu dalam dunia sinema global.

Segelintir pengkritik mempersoalkan penggunaan hidung prostetik (buatan) oleh Cooper sepanjang memainkan karakter Bernstein. Bagi penulis, kalau itu tidak mencacatkan perjalanan filem, mengapa tidak. 

Bernstein berdarah Yahudi dan orang Yahudi memang dari segi fizikal memiliki saiz hidung dengan lebih besar berbanding bangsa lain. 

Dari permainan muzik, sinematografi, lakon layar dan perihal signifikan lain dalam memastikan kelestarian sesebuah filem biopik, semua elemen itu duduk serta berdiri cemerlang dalam Maestro

Keseluruhannya, Maestro sebuah naskhah berstatus biopik yang wajar menjadi tontonan peminat sinema, bahkan antara yang terbaik untuk tahun 2023.

Aksi sebagai konduktor muzik membuatkan ramai merinding oleh Bradley Cooper ketika mengendalikan persembahan Resurrection Symphony di Ely Cathedral, England.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI