PETALING JAYA – Amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih lagi dikekalkan bagi negeri-negeri di pantai timur semenanjung iaitu melibatkan kawasan di Kelantan dan Terengganu.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya pada pagi ini berkata, keadaan hujan lebat juga dijangka masih lagi berterusan di sekitar kawasan berkenaan untuk sepanjang hari ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan keadaan cuaca tersebut terutama bagi mereka yang berada di kawasan berkedudukan rendah dan di kawasan yang kerap banjir.
“Melalui imej gema radar juga didapati hujan lebat masih lagi berterusan di negeri Terengganu dan Kelantan sepanjang hari ini,” katanya.
Sementara itu, bagi negeri-negeri lain di sekitar semenanjung pula keadaan cuaca adalah cerah dan baik sepanjang pagi ini dan dijangka akan berterusan hingga waktu petang nanti.
“Bagi tinjauan cuaca untuk negeri Sabah dan Sarawak pula dapat dilihat keadaan cuaca adalah cerah dan baik untuk kebanyakan bahagian di kedua-dua negeri berkenaan dan dijangka akan berterusan hingga waktu petang.
“Hujan lebat hanya dilihat berlaku di beberapa kawasan di sekitar pesisir pantai tengah negeri Sarawak seperti di Bintulu, Mukah dan Sibu yang dijangka akan reda dalam tempoh satu hingga dua jam daripada sekarang,” ujarnya.
Bagi tinjauan sebelah petang pula, MetMalaysia masih lagi menjangkakan ribut petir yang akan berlaku di hampir semua negeri di semenanjung.
“Oleh itu orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan cuaca ribut petir petang nanti terutamanya kerana melibatkan angin kencang, banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Manakala untuk cuaca sebelah petang bagi negeri Sabah dan Sarawak pula cuaca dijangka cerah dan baik untuk kebanyakan bahagian di negeri Sabah manakala di Sarawak ribut petir dijangka hanya akan berlaku di beberapa kawasan di sekitar pedalaman negeri berkenaan seperti di Limbang dan Kapit,” katanya.
Jelasnya keadaan itu dijangka berlaku sehingga ke awal malam nanti. – KOSMO! ONLINE