PETALING JAYA – ‘Goal of the tournament.’
Demikian antara ciapan beberapa peminat bola sepak tempatan serta luar negara ketika memuji gol cantik pemain sensasi, Faisal Halim pada minit ke-51 ketika menentang Korea Selatan malam tadi.
Malah terdapat peminat meninggalkan komen bahawa gol penyamaan tersebut antara yang terbaik pada kejohanan Piala Asia 2023 kali ini.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman X AsianCup2023, pengendali kumpulan tersebut memuji corak permainan yang dipamerkan skuad negara.
“When magic happens,” ciapnya ringkas.
Terdahulu, Faisal Halim berjaya menggelecek pemain pertahanan kelab Bayern Munich, Kim Min-Jae sebelum melakukan rembatan melepasi penjaga gol, Jo Hyeon-Woo.
“Kim Min-Jae disayur dong,” komen @mchmdfikri
“Goal of the tournament Faisal Halim no-look goal,” ciap @shahrulhambali.
Skuad Harimau Malaya melengkapkan aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan malam tadi.
Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih keputusan seri 3-3 dengan pasukan di tangga ke-23 dunia itu.
Persembahan Harimau Malaya mengikat Korea Selatan itu sekurang-kurangnya mengubat duka kem negara untuk membawa pulang satu mata daripada edisi ke-18 ini.
Dalam pada itu, keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan kekal dengan kedudukan naib juara Kumpulan E dengan Bahrain muncul juara apabila menewaskan berjaya Jordan 1-0. – KOSMO! ONLINE.