BEIJING – Seorang gadis yang mempunyai ketinggian luar biasa di China dan antara tertinggi di dunia, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi selepas dijangkiti selesema ketika berumur 23 tahun, lapor portal berita The Sun semalam.
Xiao Mo dari Shaoyang yang juga seorang ‘bintang’ di internet, memiliki ketinggian 2.28 meter. Dia mempunyai lebih 152,000 pengikut di laman sosial tempatan, Douyin.
Mo dilaporkan meninggal dunia pada 15 Januari lalu.
Ramai yang kagum dengan ketinggiannya. Mo adalah empat sentimeter lebih tinggi daripada bintang bola keranjang China yang bermain dalam liga di Amerika Syarikat, Yao Ming.
Mo dikatakan dibesarkan oleh datuk dan neneknya selepas ditinggalkan oleh ibu sendiri.
Menurut media China, dia menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung dan mata kerana ketinggiannya.
Ketinggian Mo bagaimanapun belum dapat mengatasi Rumeysa Gelgi, 27, dari Turkiye. Rumeysa memiliki ketinggian 2.34 meter dan diiktiraf Guinness World Records sebagai wanita paling tinggi di dunia. – AGENSI