KOTA BHARU – Seramai 354 mangsa banjir ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Puteh susulan hujan berterusan sejak semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 211 orang berbanding pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, kesemua mangsa terdiri daripada 122 buah keluarga itu berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Canggai dan SK Wakaf Raja.
“Daripada jumlah itu, seramai 326 orang ditempatkan di SK Canggai manakala 28 orang di SK Wakaf Raja.
“Kebanyakan sungai-sungai utama di negeri ini masih berada pada paras normal kecuali Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai yang melepasi bacaan berjaga-jaga,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, hanya Sungai Semerak di Jambatan Melor ketika ini mencatatkan bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE