fbpx

ATM bantu urus jenazah wanita meninggal dunia dalam rumah banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera mengusung jenazah Kelhtom yang meninggal dunia dalam rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Bukit Tandok, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Sepasukan anggota tentera membantu mengusung jenazah seorang wanita warga emas yang meninggal dunia di rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Bukit Tadok di sini hari ini.

Jenazah Kelthom Mat, 84, diusung pasukan anggota tentera itu ke Masjid Kampung Bukit Tadok di sini bagi urusan dimandi serta dikafankan pada pukul 2.15 petang.

Anaknya, Mat Sudin Mustafa, 63, berkata, arwah ibunya meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 9 pagi.

“Dua jam sebelum itu saya sempat berbual dengan ibu namun arwah didapati telah meninggal dunia dalam keadaan berbaring sewaktu saya cuba mengejutkannya.

“Saya terpaksa menghubungi penghulu untuk meminta bantuan menguruskan jenazah ibu memandangkan perkarangan rumah kami sukar dilalui ekoran ditenggelami banjir sedalam satu meter,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mat Sudin berkata, penghulu mukim tersebut kemudiannya memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kebetulan sedang melakukan operasi menyelamat di perkampungan mereka.

Tambahnya, jenazah ibunya telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandok dengan menggunakan bot untuk dikebumikan selepas solat asar.

“Terima kasih kepada ATM sudi membantu menguruskan jenazah ibu saya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Leftenan Kolonel Mohd. Zaki Jusoh berkata, seramai tiga pegawai dan 25 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) diketuai, Mejar Shah Hadi Shah Budin telah digerakkan untuk melaksanakan bantuan memindahkan jenazah Kelthom. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI