fbpx

Wanita meninggal dunia selepas ditampar suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PADAWAN – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian isterinya selepas bergaduh di rumah mereka di PPR Batu Gong, Siburan di sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian wanita berusia 43 tahun itu kira-kira pukul 10.10 malam tadi, dipercayai akibat kecederaan dialaminya.

“Suspek telah ditangkap dan direman di Mahkamah Kuching hari ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa yang berniaga kuih-muih berkahwin dengan suspek, 42, kira-kira tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya pada 8 Januari lalu, mangsa telah menghalau suaminya itu dari rumah.

Abang Zainal berkata suspek kemudian datang semula kelmarin, dengan alasan mahu mengambil pakaiannya yang masih berada di rumah sewa itu.

“Setelah mangsa memberi pakaian yang diminta, suspek menyatakan dia hendak berbincang dengan mangsa pula sebelum bertindak menolak mangsa di kerusi ruang tamu dan terus menampar kedua-dua pipinya beberapa kali.

“Mangsa yang melawan turut membuatkan suspek mencekik lehernya menggunakan sebelah tangan dan menyuruhnya diam.

“Suspek kemudian mengambil bajunya dan kesempatan itu digunakan oleh mangsa untuk menghubungi jirannya menyebabkan suspek terus melarikan diri,” katanya.

Susulan itu, katanya mangsa kemudian pulang ke rumah keluarganya di Kampung Panchor, namun kira-kira jam 8 malam, mangsa mengadu sakit di bahagian telinga sebelum tiba-tiba tangannya mengejang lalu terbaring di pelukan kakaknya.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.48 malam oleh pegawai perubatan.

Menurut Abang Zainal, punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menghalau dan menuntut cerai daripada suspek kerana suspek enggan bekerja sejak setahun lepas.

Katanya suspek juga sering meminta wang, tetapi tidak membantunya berniaga, serta hanya tidur dan makan sahaja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI