BATU PAHAT – Suasana sedih dan pilu menyelubungi pengebumian ibu dua anak yang mati dibunuh sebelum rangkanya ditemui di sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, Jumaat lalu.
Jenazah Mira Sharmilah Samsusah, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya di sini kira-kira pukul 6.15 petang hari ini.
Kira-kira 300 termasuk ahli keluarga, saudara-mara, rakan Bella serta penduduk kampung hadir bagi memberi penghormatan terakhir pemergian anak bongsu dua beradik itu.
Lebih meruntum jiwa apabila dua anak Bella, Eusof Abu Fatah, 5, dan Maream Isabel, 2, hanya mampu meratapi jenazah ibunya yang sudah pergi meninggal mereka buat selamanya.
Terdahulu, jenazah Bella dituntut ahli keluarganya dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang.
Jenazah kemudiannya tiba di Masjid Dato Bentara Luar di sini dan jenazah disembahyangkan di masjid yang sama. – KOSMO! ONLINE