SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan beliau cuba melengah-lengahkan kes terhadap dua pertuduhan menghasut yang didakwa ke atasnya.
Muhammad Sanusi, 50, yang juga Ahli Dewan Undangan Dewan (ADUN) Jeneri, berkata, sebaliknya permohonan memindahkan kes yang dibuat adalah mengikut prosedur undang-undang.
“Saya buat permohonan (memindahkan kes) ini mengikut peraturan, ikut undang-undang yang dibenarkan…persoalan undang-undang saya serahkan kepada peguam.
“Saya sedang menunjukkan contoh yang baik, saya akan sentiasa patuh dengan setiap prosiding mahkamah yang akan ditetapkan ,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes untuk memindahkan dua pertuduhan itu dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan itu Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam prosiding hari ini Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin menetapkan 1 Februari ini bagi pendengaran permohonan Muhammad Sanusi untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.
Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 29 Januari ini.
Semasa prosiding peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Muhammad Sanusi manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob.
Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi memohon untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Muhammad Sanusi selaku pemohon memfailkan permohonan untuk memindahkan kes antaranya atas alasan suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah rendah daripada Mahkamah Tinggi.
Menerusi notis usul tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu berkata sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, ia akan memudahkan pihak-pihak merujuk kepada isu undang-undang yang rumit yang akan dikemukakan semasa perbicaraan.
Dalam prosiding minggu lalu, ketika sebutan kes di Mahkamah Sesyen Selayang, pihak pendakwaan membantah permohonan pembelaan untuk prosiding perbicaraan dua pertuduhan itu ditangguhkan di Mahkamah Sesyen.
Pihak pendakwaan berhujah pemfailan notis usul yang telah difailkan untuk memindahkan kes dan menangguhkan perbicaraan bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan dan ia bukan suatu alasan yang patut dipertimbangkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE