fbpx

Suspek kes pecah rumah lepas tembakan ke arah MPV polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan cermin depan MPV polis yang pecah selepas ditembak penjenayah di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu semalam. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah di Panji di sini bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah kereta unit peronda polis (MPV) selepas kegiatan kumpulannya dihidu pihak berkuasa semalam.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, suspek yang berada di kerusi penumpang depan kereta jenis Perodua Viva menembak cermin MPV Proton Preve sebaik tiba di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, bersebelahan Sekolah Kebangsaan Demit di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan rumahnya di Panji dipecah masuk.

Menurutnya, anggota polis bersama MPV kemudian menjumpai Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Anggota polis kemudian mengekori dan mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Raja Perempuan Zainab 2.

“Semasa tiba di kawasan itu, suspek mengeluarkan sepucuk pistol sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena pada cermin depan sebelah kanan MPV,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kereta dinaiki suspek memecut laju ke arah Kubang Kerian.

Polis kemudian menemui kereta tersebut di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian, namun kesemua suspek sudah melarikan diri.

“Polis giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-745 5555,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI