fbpx

Sistem Padu selari dengan era digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PADA 1 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sistem Pang­kalan Data Utama (Padu).

Matlamat Padu dibangunkan adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dan melaksanakan pengukuhan dalam penggunaan sumber yang terhad.

Selain itu, Padu juga dapat melaksanakan pemerkasaan sistem sosial melalui peningkatan kesejahteraan ekonomi dan rakyat serta merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat.

Anwar berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga disifat­kan mampu mengurangkan kos perbelanjaan selepas jumlah subsidi ditanggung kera­jaan ketika ini melebihi RM80 bilion.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, sehingga 8 Januari lalu, hampir 800,000 berjaya mendaftar sistem berkenaan.

Namun mengikut tinjauan yang dilakukan, rata-rata rakyat negara ini masih ragu-ragu dengan pembangunan sistem Padu yang baru dilaksanakan.

Malah ada yang mendakwa, tahap keselamatan sistem Padu ini selain mendedahkan maklumat peribadi individu, dapat dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, secara lebih khusus, matlamat utama Padu buat masa ini ialah bagi membolehkan kerajaan menyampaikan bantuan sosial dengan lebih cekap, umumnya penyasaran subsidi.

“Untuk tahun 2023, subsidi dan bantuan sosial dianggar mencecah RM67 bilion, 16.7 peratus daripada peruntukan belanjawan. Hampir menyamai perbelanjaan pembangunan.

“Di samping itu, subsidi bersasar juga diharap dapat meredakan defisit fiskal yang melebar, dengan tanggapan ada ketirisan akibat kaedah subsidi yang menyeluruh, secara blanket, tidak bersasar,” katanya.

Noor Azlan berkata, data merupakan ‘minyak’ dalam dunia digital hari ini.

Keputusan lebih tepat bergantung kepada kewujudan data yang terperinci yang bersifat real time.

Ujarnya, data terperinci (granular) dan tepat masa (real time) membolehkan sasaran dibuat secara lebih mikro serta polisi awam dibentuk secara tepat. Istilah real time bererti maklumat berkaitan dicerap bukan tahun lepas, bukan bulan lepas, bukan semalam dan bukan pagi tadi, malah pada ketika ini.

Padu disifatkan sebagai near real time mungkin terhad kepada bulan lepas, atau enam bulan lepas, tertakluk kepada kewujudan dan kepantasan serta kekerapan data dicerap.

Pembentukan polisi oleh kerajaan mesti berasaskan fakta disokong data berkualiti.

Namun, sejauh manakah darjah keterperincian dan ketepatan masa data diperlukan bagi pembentukan polisi yang berkesan?

Adakah pengkalan data bersifat near real time melibatkan 32 juta rakyat seperti Padu diperlukan bagi menyelesaikan masalah ketirisan bantuan sosial?

Teruskan pembangunan Padu sebagai initiatif data raya awam kerana ia baik dan bertepatan dengan era digital. Tingkatkan keyakinan rakyat dan perkukuhkan keupayaan dan keselamatan Padu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI