fbpx

Remaja, dua rakan didakwa rompak warga asing guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA tertuduh bersama seorang lagi remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan tiga bersama dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi, tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 15 tahun bersama Naufal Izmeiel Abdullah, 24, dan Muhammad Ridzuan Mat Nasir, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap lima warga Bangladesh.

Tertuduh juga didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM1,700 dan empat telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam hingga 11.40 malam di kebun sayur Kampung Melekek, Kampung Kandang Kambing serta kebun buah Jalan Kemus, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah antara 3 November hingga 19 Disember 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor yang mewakili Muhamad Ridzuan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Nariman kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan bagi pesalah juvana sementara jaminan RM18,000 seorang kepada dua tertuduh yang lain bagi kesemua pertuduhan.

Beliau turut menetapkan tarikh 27 Februari depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata menyasarkan pekerja kebun warga asing berjaya diberkas polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI