BANGKOK – Netizen Thailand mengkritik seorang pesohor media sosial wanita kerana merakam video dirinya berjalan di tengah jalan raya ketika beberapa buah motosikal bergerak laju, lapor portal berita Thaiger semalam
Akaun Red Skull di Twitter berkongsi video pesohor wanita tersebut yang dikenali sebagai Nutsima ‘Bell’ Sirisoonthorn, melakukan perbuatan berbahaya pada Ahad lalu.
Menurut Red Skull, seorang wanita tempatan yang menjadi saksi kejadian telah menghantar klip video tersebut.
Dalam video itu, Bell yang memakai kasut tinggi warna merah jambu dan berpakaian cerah, berjalan di tengah jalan raya, manakala tangan kanannya memegang tripod yang menyokong telefon bimbit berkamera.
Netizen kemudian berkata, perbuatan Bell membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain selain tidak mempedulikan nyawa orang lain.
Wanita yang merupakan anak bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Thailand itu akhirnya meminta maaf menerusi akaun Instagramnya, @bellsiris.
Bell menjelaskan bahawa dia melakukan penggambaran untuk kempen iklan sebuah jenama pakaian dan melakukannya dengan cuai. Dia mengaku perbuatannya adalah contoh buruk kepada pengikutnya. – AGENSI