fbpx

Nafas harap tender agihan baja subsidi padi disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamri (tiga dari kanan) bersama pengurusan tertinggi Nafas melawat plot eksperimen sawah yang menggunakan baja keluaran kilangnya di Gurun, hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN

GURUN – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap kerajaan dapat mengeluarkan segera tender pengagihan baja subsidi bagi membolehkan pihaknya membekalkan input pertanian itu kepada pesawah untuk tanaman padi musim 1/2024.

Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob berkata, kilang pengeluaran baja, Malaysian NPK Fertilizer yang beroperasi di sini kini sudah menghasilkan 35,000 tan metrik baja untuk kegunaan musim tersebut.

Beliau berkata, Nafas kini sudah bersedia pada bila-bila masa untuk menghantar bekalan baja itu kepada pesawah di seluruh negara melalui 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Tender pengagihan baja bagi tahun ini belum dikeluarkan lagi oleh kerajaan dan berlaku sedikit kelewatan walaupun di peringkat Nafas kita kini sudah bersedia sepenuhnya untuk menghantar pesanan.

“Kita juga harap kerajaan dapat mengeluarkan tender secara rundingan terus kepada Nafas seperti tahun-tahun sebelum ini bagi membekalkan kira-kira 240,000 tan metrik baja yang diperlukan di 320,000 hektar sawah seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas bersama Ahli Pengarah Jemaah Nafas, Datuk Aimi Jusoh mengadakan lawatan ke kilang Malaysian NPK Fertilizer di sini, hari ini.

Katanya, musim penanaman padi untuk tahun ini sudah bermula di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

“Apabila penanaman padi bermula dan benih sudah ditabur, petani memerlukan baja untuk proses seterusnya, justeru kita harap kerajaan melihat isu ini agar menyegerakan proses tender.

“Bekalan baja kita juga ketika ini banyak sehinggakan kita terpaksa menghentikan sementara pengeluaran sejak seminggu lalu susulan tiada ruang lagi untuk penyimpanan,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya memberi jaminan tidak akan berlaku kelewatan terhadap penghantaran bekalan baja ke seluruh negara selaras dengan kempen ‘Zero Late Delivery’ yang diperkenalkan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI