fbpx

MPM bina kemudahan alat permainan mesra OKU pertama di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-kanak OKU dan keluarga mereka menggunakan kemudahan yang terdapat di taman permainan mesra OKU di Marina Wing, Lumut semalam.

LUMUT – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) membina kemudahan alat permainan bagi kanak-kanak istimewa dan golongan orang kelainan upaya (OKU) yang pertama seumpamanya di Perak.

Kemudahan di Taman Permainan Marina Wing di sini melibatkan laluan untuk kerusi roda, laluan mudah dimasuki golongan tersebut, buaian yang lebih rendah dan selamat, pemasangan rumput tiruan untuk bersantai serta pencahayaan terang 24 jam untuk persekitaran selamat.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh, berkata selain tempat permainan, kawasan Marina Wing juga dijadikan mesra OKU dengan menyediakan laluan sesuai untuk mereka serta palang bagi berpegang.

“Idea asal adalah untuk meningkatkan taraf tempat permainan di sini tahun lalu dan berserta kemudahan untuk OKU pada kos kira-kira RM50,000.

“Kita hendak cuba buang stigma yang kanak-kanak istimewa tidak boleh bermain bersama kanak-kanak biasa, sebaliknya mereka boleh berkongsi ruang tempat permainan sama, yang pertama di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan tempat permainan tersebut di sini semalam.

Menurut Syamsul Hazeman, tempat permainan itu dibina selepas mendapatkan nasihat daripada pihak yang pakar dalam rekaan alat permainan OKU dan dibina oleh Jabatan Landskap dan Kejuruteraan MPM.

Beliau berharap kawasan itu akan menjadi pilihan untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga OKU untuk beriadah.

Jelasnya, MPM akan melakukan kajian dari masa ke semasa termasuk mendapatkan ‘input’ daripada persatuan berkaitan OKU untuk membina lebih banyak kemudahan dan tempat permainan awam mesra golongan tersebut di Manjung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI