KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd. Khairianwar Jailani agar tidak memberikan kenyataan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya sehingga kes itu selesai.
Mohd. Khairianwar, 32, yang juga penulis skrip, didakwa minggu lalu atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas menolak permohonan semakan pengarah itu untuk mengetepikan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 17 Januari lalu.
Beliau mengekalkan larangan bersuara terhadap Mohd. Khairianwar selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapinya selain bagi memelihara kepentingan perbicaraan yang akan didengar kelak.
Beliau turut mengekalkan jaminan RM6,000 terhadap Mohd. Khairianwar seperti yang diperintahkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim.
Hakim Muniandy bagaimanapun mengetepikan syarat jaminan tambahan yang dikeluarkan oleh majistret berkenaan yang menghendaki tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Mohd. Khairianwar memfailkan permohonan semakan pada 18 Januari lalu untuk mengetepikan perintah larangan bersuara dan syarat tambahan agar melapor diri di balai polis.
Pada prosiding itu, pengarah filem tersebut selaku pemohon diwakili oleh peguam Zaid Malek manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nadia Muhd. Izhar dan Mohamad Mustafa P. Kunyalam mewakili pihak pendakwaan.
Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan penerbit filem tersebut, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut. – KOSMO! ONLINE