KUALA PILAH – Seorang lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melempar helaian dan cebisan al-Quran di Felda Palong 6, Jempol pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Ruzainis Md Sin, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mohd. Ruzainis didakwa melakukan perbuatan itu yang boleh mengaibkan agama di pada pukul 11.30 pagi, 20 Januari lalu di tepi jalan Pasar Khairat Kematian Felda Palong 6.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi mencadangkan jaminan RM10,000, namun tertuduh dalam rayuannya memohon mempertimbangkan jumlah tersebut kerana ibu bapanya tidak sihat dan ibu mahu menjaga mereka.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang penagih dadah ditangkap selepas dipercayai melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang telah dikoyakkan di tepi Jalan Besar Palong. – KOSMO! ONLINE