MELAKA – Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyamar sebagai pegawai kanan polis dan menyamun seorang wanita di sebuah hotel dekat sini, tahun lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Callixto S. Arambala, 36, yang mengaku bersalah bagi tiga daripada lapan pertuduhan dihadapkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didapati telah menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku telah mencuri dua buah telefon bimbit bernilai RM850, dompet mengandungi wang RM40, dua keping kad bank dan melarikan kenderaan jenis Toyota Vios milik seorang wanita berusia 25 tahun.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 379 dan 379A Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan penjara satu hingga tujuh tahun serta dikenakan denda.
Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan wanita sama dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat mahupun mana-mana dua daripada hukuman itu.
Tertuduh turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C yang boleh dipenjarakan antara lima hingga 20 tahun dan sebatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukannya pada 17 dan 18 September 2023 lalu di sebuah bilik hotel di Melaka Tengah, Melaka.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar dan Rashidah Baharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Mac depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam, selain tidak membenarkan sebarang jaminan. – KOSMO! ONLINE