KUCHING – Polis merampas lebih 10 kilogram (kg) dadah bernilai RM426,600 selepas menahan dua ahli sindiket itu di Miri.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek ditangkap secara berasingan di Miri pada 19 dan 21 Januari lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Tangkapan pertama melibatkan suspek berusia 26 tahun yang ditahan di belakang sebuah restoran kira-kira pukul 9.15 malam, 19 Januari lalu. Polis merampas dua peket serbuk ekstasi seberat 54.7 gram.
“Polis kemudian menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Piasau Indah dan merampas 12.8kg serbuk campuran ekstasi, 1.70 gram ketamin dan 0.3 gram pil ekstasi bernilai RM152,700,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Mancha berkata, sindiket menjadikan pangsapuri sebagai tempat memproses dan membungkus dadah. Bekalan dadah diperoleh daripada rakan sejenayah di Miri dan kemudian diproses serta dibungkus dalam peket sebelum diedarkan di daerah sama.
“Suspek menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu daripada sindiket,” katanya sambil menambah ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Suspek kedua berusia 26 tahun dicekup di balai ketibaan Lapangan Terbang Miri kira-kira pukul 9 pagi, 21 Januari lalu apabila membawa satu bagasi berisi 8.3kg syabu bernilai RM273,900.
Katanya, modus operandi suspek adalah membawa dadah dari Semenanjung ke Miri menggunakan penerbangan dengan upah sebanyak RM8,000.
“Suspek turut diarahkan untuk membawa dadah ke Sabah, dengan urusan penerbangan dan penginapan diuruskan oleh ahli sindiket,” katanya. – KOSMO! ONLINE