fbpx

Kesalahan teknikal kenderaan meningkat 32 peratus tahun lalu- JPJ Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azrin (tengah) ketika sidang akhbar Operasi Patuh Bersepadu JPJ Negeri Selangor hari ini.

PUCHONG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan peningkatan sebanyak 32 peratus membabitkan kesalahan teknikal kenderaan sepanjang tahun lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kesalahan teknikal yang dikesan pada tahun 2023 sebanyak 349,289 berbanding 263,768 kesalahan direkodkan pada tahun 2022.

Menurut beliau, sejajar dengan itu pengeluaran notis terhadap kesalahan berkenaan juga meningkat sebanyak 32 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelum.

“Kesalahan teknikal itu seperti tayar kenderaan botak, signal rosak dan sebagainya. Peningkatan 32 peratus itu berkemungkinan disebabkan pemandu kurang mengambil berat tentang keadaan kenderaan mereka.

“Kepada pemandu-pemandu, sila periksa kenderaan anda sebelum meneruskan perjalanan dengan memastikan ia dalam keadaan baik,” katanya ketika sidang akhbar Operasi Patuh Bersepadu JPJ Negeri Selangor di Plaza Tol Puchong Selatan di sini hari ini.

Mengulas mengenai operasi malam ini, Azrin berkata, sekatan jalan raya yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu melibatkan seramai 142 termasuk anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan , LITRAK dan PLUS.

Kata beliau, setakat pukul 9.30 malam ini, sebanyak 1,217 kenderaan telah diperiksa manakala sebanyak 583 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, notis tertinggi melibatkan 159 kesalahan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau luput, kesalahan teknikal (142) dan tiada lesen memandu (105).

Jelas beliau, operasi itu bertujuan memaksimumkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya selain memastikan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI