fbpx

Kertas siasatan terhadap Tun Mahathir lengkap dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZARUDIN ketika ditemui pemberita di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai masyarakat India yang didakwa tidak setia kepada negara akan dilengkapkan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebaik sahaja siasatan selesai.

“Semalam kita sudah ambil percakapan Tun Dr. Mahathir dan siasatan akan diteruskan.

“Dalam masa tiga hingga empat hari lagi, mungkin kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak AGC selepas siasatan kita selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir mendakwa beliau seolah-olah diperlakukan seperti ‘penjenayah’ selepas lebih 10 kali disoal siasat oleh polis sejak beberapa tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau dilayan sedemikian kerana hanya mengeluarkan kenyataan yang tidak sebulu dengan pemerintah.

“Dia (polis) tanya 19 soalan dan ada yang boleh saya jawab. Saya tak nampak saya buat salah. Saya ada hak, pendirian dan fahaman saya. Tapi itu dikatakan salah. Jadi, selebihnya, saya akan jawab di mahkamah lah.

“Saya nak tanya saya boleh cakap atau tidak. Itu pendapat saya. Saya dapati kita hidup dalam Malaysia terlalu banyak tekanan. Sikit-sikit kena buat siasatan,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan negarawan itu, Razarudin menafikan dakwaan tersebut sebaliknya berkata, polis hanya menjalankan tugas dengan meneruskan siasatan.

“Di pihak polis, kita tetap teruskan siasatan. Kalau siasatan tidak lengkap, maksudnya polis berat sebelah.

“Sebab itu, polis rakam percakapan. Kalau tidak di Bukit Aman, rakaman percakapan diambil di tempat yang sesuai sebagaimana yang Tun Mahathir mohon,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mencetus kontroversi apabila mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih “terikat” dengan negara asal mereka dalam satu temu bual bersama saluran TV satelit di India. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI