PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) mengakui isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun sebarang bentuk penyelesaian yang hendak dilaksanakan kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan penjawat awam atau pengecilan saiz perkhidmatan awam.
Ujar beliau, kerajaan perlu mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara.
“PN menegaskan bahawa sebarang dasar baharu mengenai pelantikan pegawai awam hendaklah dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.
“Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor-sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan,” katanya dalam satu hantaran di mrdia sosial hari ini.
Muhyiddin memberi contoh penjawat awam terutama dalam sektor kesihatan dan keselamatan menjadi petugas barisan hadapan yang penting dalam usaha melawan Covid-19.
Menurut beliau, setiap keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang beliau pengerusikan ketika itu dapat dilaksanakan dengan segera, cekap dan berkesan kerana negara mempunyai petugas barisan hadapan yang mencukupi.
“Bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguat kuasa, kakitangan pertahanan awam dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan, setiap keputusan dan langkah yang diputuskan di Putrajaya belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan.
“Justeru, apa pun langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam jangan diabaikan dan pengecilan saiz perkhidmatan awam jangan dijadikan fokus utama,” katanya.
Kata beliau, kerajaan patut memberi fokus kepada usaha-usaha menambah hasil negara dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi untuk mengatasi beban fiskal negara. – KOSMO! ONLINE