fbpx

Inovasi buku versi Braille untuk OKU dalami ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak USIM menyerahkan buku Kompas 114 kepada salah seorang wakil organisasi OKU.

INISIATIF untuk memartabatkan budaya membaca merupakan antara usaha yang giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi memastikan masyarakat celik ilmu dan pengetahuan.

Meskipun teknologi menjadikan buku fizikal semakin kurang di pasaran, namun syarikat penerbitan masih lagi hidup untuk membekalkan wadah ilmu kepada pembaca.

Bagi menyahut usaha memartabatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat termasuklah komuniti orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Universiti Sains Islam

Malaysia (USIM) yang diterajui oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) telah melakukan inovasi untuk dua buah buku yang diterbitkan semula dalam versi Braille.

Buku tersebut merupakan naskhah Kompas 114 dan Matan Al- Syatibiy Versi Braille.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, inovasi penerbitan buku tersebut dilakukan bersempena sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut Disember tahun lalu.

Ujarnya, ia bertujuan memberi manfaat kepada golongan OKU penglihatan supaya tidak keciciran dalam apa jua bidang terutamanya ilmiah.

“Kompas 114 ini adalah sebuah buku separa ilmiah yang bertujuan menjadi pembimbing buat pembaca al-Quran dalam kembara penghayatan dan tadabbur Kalamullah yang agung.

PARA wakil USIM dan organisasi OKU bergambar kenangan selepas majlis.

“Ia diserahkan kepada 10 wakil terpilih, antaranya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), Persatuan Ibu

Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, al-Fitrah Foundation, KL Braille dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan buku Kompas 114 Versi Braille dan pelancaran buku Matan Al- Syatibiy Versi Braille di USIM, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tambah Adnan, dia berharap agar penerbitan buku versi Braille dapat dijalankan dengan lebih meluas bagi memastikan budaya ilmu terus berkembang dalam masyarakat.

Katanya lagi, usaha itu sejajar dengan inisiatif menjadikan USIM sebagai Pusat Rujukan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di peringkat serantau dan global.

“Saya juga mengharapkan agar keakraban yang terjalin sepanjang program ini dapat menjadi medan perbincangan dan perkongsian ilmu serta idea bagi mengembangkan lagi inovasi bermanfaat kepada masyarakat.

“Ia juga diharap dapat menambah baik prestasi dan kebolehan para mahasiswa serta mahasiswi di USIM pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, penyelaras projek inovasi penerbitan buku versi Braille, Dr. Mohd. Nur Adzam Rasdi berkata, usaha mentranskripsi buku itu telah dimulakan sejak akhir tahun 2021.

Katanya, sebanyak lima jilid telah diterbitkan dengan jumlah 914 muka surat keseluruhannya.

“Usaha penterjemahan ini telah dibantu oleh para pelajar kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah.

“Ia turut mendapat kerjasama daripada syarikat Iltizam Braille yang diterajui oleh Ustaz Sumairi Zainol.

“Semoga buku ini dapat dimanfaatkan oleh komuniti OKU penglihatan khususnya.

“Diharap aktiviti mentranskripsi buku-buku ilmiah ke dalam versi Braille akan lebih meriah dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan pembangunan modal insan yang seimbang bagi komuniti OKU.

Ujarnya, usaha itu mampu menjadi pencetus kelahiran para pentadabbur al-Quran dalam kalangan OKU,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI