PETALING JAYA – Ibadah umrah yang dilakukan oleh majikan yang tidak membayar gaji pekerja secara sengaja adalah ibadah tersebut tidak diterima atau bukan mabrur.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, syarat mengerjakan haji atau umrah adalah bagi orang yang berkemampuan untuk pergi (Mekah), jika tidak bayar gaji maknanya masih tidak mampu.
“Kena ingat jika gaji pekerja sendiri tidak dibayar dengan sengaja itu tidak boleh, lain lah kalau kamu berhutang tidak sampai waktu membayarnya itu lain dan tiada masalah.
“Ini tidak gaji berbulan tidak bayar tapi kamu pergi umrah, buat benda sunat tetapi benda wajib tidak buat, itu haram namanya,” jelas belaiu dalam satu siri ceramahnya baru-baru ini.
Tambah Azhar lagi, hukum tidak membayar gaji pekerja itu adalah haram dan wajib dilunaskan terlebih dahulu jika ingin melalukan ibadah sunat yang lain.
“Ibarat dia macam ni, kita pakai serban, ketayap itu sunat sahaja, sama kita lilit serban dengan imamah dan simpan janggut itu semua adalah sunat dilakukan.
“Semua itu kita pakai tetapi seluar tidak pakai, berjalan dari Pasir Mas ke Kota Bharu. Begitu lah ibaratnya seperti orang telanjang jika pergi umrah tetapi gaji pekerja tidak bayar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.