PETALING JAYA – Definisi B40, M40 dan T20 perlu ditakrifkan semula kerana pengkelasan isi rumah tidak wajar hanya dilihat aspek pendapatan isi rumah sahaja.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengkelasan tersebut perlu juga mengambil kira tentang tanggungan.
“Seperti anak-anak, orang tua dan faktor bandar-luar bandar. Mara akan mulakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
B40, M40 dan T20 merupakan takrifan yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 2016 bagi mengkategorikan pendapatan isi rumah masyarakat.
B40 adalah kumpulan isi rumah terendah dan penduduk Malaysia adalah 40 peratus terdiri daripada golongan tersebut.
M40 pula kumpulan isi rumah pertengahan Penduduk Malaysia dan 40 peratus masyarakat Malaysia terdiri daripada golongan itu.
T20 adalah kumpulan isi rumah tertinggi dan sekitar 20 peratus masyarakat Malaysia terdiri daripada golongan berkenaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Jun tahun lalu memaklumkan, pengkelasan B40, M40 dan T20 akan dihapuskan secara berperingkat mulai tahun ini.
Beliau dipetik berkata, beberapa inisiatif atau dasar dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah berbeza berbanding pendekatan pentadbiran terdahulu, termasuk perkara membabitkan bantuan atau subsidi.
Ujar beliau, kerajaan cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE