TIDAK sedikit pun ingatan dan kerinduan penyanyi Mutia Ayu terhadap mendiang suaminya, Glenn Fredly terlerai sejak pemergian insan tercintanya itu sejak tiga tahun lalu.
Walaupun maut memisahkan mereka, amanat penyanyi Januari itu untuknya terus kuat melangkah dan menjaga anak tunggal mereka tetap digalas sebaik mungkin.
Katanya, aktiviti harian kini lebih kepada memastikan urusan harian puteri mereka, Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo, 3, termasuk persekolahan lancar.
Pemergian Glenn pada April 2020, masih meninggalkan kesan mendalam buat Mutia sehingga dia belum terfikir untuk mencari pengganti.
“Kalau berpasangan belum lagi, saya mahu fokus kepada Gewa dulu, ikut saja rencana Tuhan,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Penyanyi popular Indonesia itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika anaknya baharu berumur 40 hari yang juga empat hari selepas ulang tahun ke-25 Mutia.
Sebelum ini wajah Gewa jarang ditunjukkan dalam media sosial, namun seiring perkembangan usia puterinya, Mutia dilihat semakin terbuka.