PETALING JAYA – Pelakon Zarina Zainuddin tidak dapat menahan rasa sedih sewaktu berkongsi rasa terkilan terhadap arwah bapanya yang meninggal dunia pada petang semalam akibat menderita penyakit kanser prostat tahap empat.
Menerusi video yang dikongsikan Zarina atau nama lengkapnya Nur Zarina Mohd Zainuddin dalam Instagram miliknya, pelakon itu mengakui berasa bersalah kerana telah mengabaikan arwah bapanya selama ini.
“Tak dapat beraya dengan ayah tahun ini. Saya memang rasa bersalah sebab saya tahu, saya abaikan ayah saya.
“Sebab itulah, jangan ada perceraian dalam hidup, jangan bercerai. Walau apa pun, pertahankanlah rumah tangga. Sebab bila bercerai, anak-anak jadi mangsa. Bila bercerai, anak-anak akan rapat dengan orang yang menjaganya sahaja.
“Orang yang ditinggalkan, dia tidak akan rasa perasaan yang sama. Saya tidak tahu hendak terangkan bagaimana. Tapi inilah kehidupan. Setiap orang ada pengalamannya dan ujian tersendiri,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Biarpun sedih, Zarina tetap reda dengan pemergian arwah bapanya, daripada terus menderita menanggung sakit yang dialaminya.
“Saya reda ayah pergi (meninggal dunia) sebab lebih baik dia pergi daripada sakit. Dah tinggal tulang, tak ada isi. Nak makan pun tak boleh.
“Biarlah Allah SWT ambil dia. Cuma saya terkilan, tidak dapat buat apa yang sepatutnya saya buat sebab ayah tidak mahu tinggal dengan saya,” katanya.
Jelas Zarina, dia pernah memujuk arwah bapanya beberapa minggu lalu untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur, namun bapanya enggan kerana mahu menetap di kediaman sendiri di Negeri Sembilan.
“Saya pernah ajak ayah untuk duduk dengan saya di sini (Kuala Lumpur). Dia cuma gelengkan kepala tidak mahu. Dia nak tinggal di rumah dia juga.
“Saya bersyukur dikelilingi ramai orang baik yang selalu nasihatkan saya jika mahu berbuat sesuatu. Semoga ada pengakhiran yang baik-baik,” katanya.
Terdahulu, pelakon drama Teduhan Kasih itu telah kehilangan bapanya, Zainuddin Ibrahim, 73, yang meninggal dunia pada petang semalam akibat kanser prostat tahap empat dan telah selamat dikebumikan di Sendayan, Negeri Sembilan, malam tadi. – KOSMO! ONLINE