KOTA BHARU – Selepas lapan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peniaga produk kosmetik yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini ditamatkan bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin berkata, pasukannya tiada sebarang petunjuk penemuan mangsa, Norhisyam Ismail, 43, sepanjang operasi yang dijalankan sejak lebih seminggu lalu.
“Walaupun SAR dihentikan, pihak bomba tetap melakukan pemantauan di sepanjang Sungai Kelantan.
“Justeru, orang ramai diminta untuk memberi kerjasama dengan menghubungi pihak berkuasa sekiranya menjumpai mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Zainal memberitahu, pihaknya juga memerlukan bantuan penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan Jambatan Tendong agar menyalurkan maklumat jika terjumpa mayat mangsa.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya agar datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dia terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong pada 15 Januari lalu.
Abang kepada mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata, adiknya, Norhisyam berpesan kepada bapa mentuanya untuk datang mengambil kereta jenis Mercedes Benz E250 CGI kerana ia mengalami kerosakan semasa berada di atas jambatan tersebut. – KOSMO! ONLINE