fbpx

Sut linen serlah gaya maskulin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUT linen cukup stylish apabila digayakan untuk majlis formal atau santai.

Penggayaan sut linen yang tidak terbatas menjadikan ia cukup sofistikated dan sempurna untuk musim panas atau cuaca seperti di negara kita.

Sut linen istimewa kerana ia dengan mudah dapat membawa transisi fleksibiliti daripada kemas ke gaya santai.

Ia juga menyejukkan apabila dipakai, selesa dan dapat menyerlahkan imej maskuliniti.

Jika anda mahu gaya smart (kemas dan segak), gayakan sut linen dengan kombinasi kemeja dan tali leher.

Kejayaan keseluruhan penampilan tentunya bergantung pada gaya dan warna sut, kemeja serta aksesori. Padankan sut biru kelasi anda dengan kemeja putih dan tali leher kelabu untuk gaya formal dan profesional.

Sementara kombinasi sut rona lembut, pudar atau putih dengan tali leher untuk gaya lebih santai dan bersahaja.

Bagi pilihan gaya tidak formal atau acara santai, anda juga boleh padankan kemeja-T atau polo dengan sut linen. Penulis kongsikan beberapa tip pengayaan sut linen.

 

Kasut sesuai
Bagi mereka yang gemarkan gaya konservatif, wajib dapatkan kasut oxford atau wingtip. Bagi anda yang lebih kepada gaya kontemporari, padankan kasut loafer dengan sut linen terutamanya untuk gaya lebih santai atau kurang formal. Loafer ringan dan boleh dipakai tanpa stokin. Bagi yang berani, cuba bereksperimentasi dengan kombinasi sut linen dan kasut trainer sebagai pelengkap gaya.
Dapatkan kasut dalam rona neutral, kerana ia paling sesuai dipadankan dengan pelbagai kombinasi pakaian.

 

Pemilihan warna
Pilih sut linen dalam rona pastel (lembut) atau neutral seperti putih, kelabu, khaki, pasir, tanah dan perang untuk mendapatkan gaya klasik, elegan serta segar.
Sut linen dalam rona gelap seperti arang, coklat, kelabu dan biru kelasi dapat menyuntik elemen formal dalam penampilan. Elakkan rona terang kerana ia amat tidak sesuai dengan ciri-ciri fabrik linen.

 

Kombinasi
Anda boleh menggayakan kombinasi jaket dan seluar dalam rona yang berlainan. Cuba padanan jaket rona gelap dan seluar rona cerah untuk gaya lebih hebat.
Padankan sut linen dengan dress shirt daripada fabrik kapas (cotton) atau kemeja jalur dalam rona pudar.
Kombinasi fabrik tersebut akan memberi dimensi dan tekstur yang menarik pada penampilan keseluruhan.
Tidak perlu tali leher melainkan anda bekerja di pejabat yang agak konservatif.
Berikan sentuhan gaya Eropah dengan pocket square reka corak menarik seperti polka dot, jam tangan mewah dan kasut kulit.

 

Pembersihan
Pastikan anda menghantar sut linen untuk proses cucian kering dan digosok atau distim dengan wap panas sebelum dipakai.
Sut tersebut tetap akan renyuk sedikit (sememangnya ciri-ciri linen adalah begitu), tetapi cucian kering yang bagus akan membuatkan sut linen kelihatan hebat lebih lama.

 

Kasual
Bagi anda yang belum bersedia untuk memakai sut linen, apa kata anda cuba dahulu gayakan blazer atau seluar linen. Suai padankan mengikut cita rasa anda. Jika gaya kasual yang anda mahu tampilkan, pastikan anda memilih potongan sut linen sedikit longgar.
Gaya ini cool serta cukup digemari selebriti-selebriti Barat.
Untuk acara perkahwinan yang diadakan pada musim panas, sut linen pastinya adalah antara pilihan sempurna.

 

Gaya stylish
Untuk gaya lebih stylish dan kontemporari, padankan jaket linen potongan mengikut badan (fitted) dengan jean denim yang hebat. Gaya ini ideal untuk aktiviti santai. Dapatkan denim ringan yang sesuai dengan cuaca panas. Pilihan menarik yang lain adalah kombinasi jaket linen dan seluar chino.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI