GEORGE TOWN – Seorang pemuda ditemui selamat selepas dia dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.2 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke pulau dari Perai dekat sini, pagi tadi.
Lelaki berusia 20-an itu dijumpai dalam keadaan terkapai-kapai di laut oleh sekumpulan nelayan pantai sebelum dia dibawa naik ke atas tiang jambatan, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.47 pagi tadi dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.
Menurutnya, sebaik pasukannya tiba di tempat kejadian mendapati seorang mangsa telah meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda Wave berwarna hitam.
“Pada waktu kejadian, bot nelayan berada di lokasi dan mengangkat mangsa ke tepi tiang jambatan lalu mengikatnya pada tiang sebelum beredar dari lokasi.
“Tindakan dua anggota penyelamat turun ke bawah dengan menggunakan tali penyelamat bagi menenangkan dan menyelamatkan mangsa.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada bot pasukan Maritim Malaysia (APMM) untuk dibawa ke Jeti Batu Uban,” katanya di sini, sebentar tadi.
Beritahu jurucakap lagi, mangsa yang ditemui dalam keadaan stabil kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE