fbpx

Pasukan Petugas 1MDB bakal ambil tindakan ke atas bank asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pasukan Petugas 1MDB mempertimbangkan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa melaksanakan proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dengan sewajarnya pada masa itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pasukan petugas khas itu amat komited untuk menangani perkara 1MDB dengan telus dan memastikan semua pihak bertanggungjawab.

“Kerumitan untuk perjanjian penyelesaian ini memerlukan semakan yang berhati-hati, dan Pasukan Petugas 1MDB dengan aktif terbabit dalam proses timbang tara bagi memastikan penyelesaian adil bagi kepentingan terbaik rakyat Malaysia.

“Pasukan Petugas 1MDB mengadakan satu mesyuarat semalam bagi membincangkan perkembangan terkini/status pemulangan aset 1MDB dan perkara-perkara lain berkaitan dengan pertikaian bersama Goldman Sachs,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerajaan memperakui bahawa kerumitan dan kerahsiaan berhubung butiran penyelesaian itu, namun menyasar untuk memberikan ketelusan serta kemas kini mengenai situasi semasa kepada umum.

Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai pada Ogos 2020 antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan penyedia perkhidmatan kewangan itu membayar tunai AS$2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion kepada kerajaan.

Jelas Johari ketika ini, perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia gagal mendapatkan penyelesaian yang adil dan mencukupi daripada Goldman Sachs.

“Buat makluman, 1MDB membayar yuran penasihat yang amat tinggi sebanyak AS$606 juta kepada Goldman Sachs bagi menasihatkan penerbitan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion,” katanya.

Johari berkata, pertikaian sekarang adalah tertumpu kepada cubaan Goldman Sachs untuk mendapatkan timbal balas ke atas denda yang dikenakan terhadap AmBank (RM2.8 bilion) dan perjanjian penyelesaian bersama IPIC (AS$1.8 bilion) terhadap jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion.

Katanya, Goldman Sachs menyatakan bahawa obligasinya di bawah jaminan pemulangan aset telah terlepas melalui timbal balas itu.

“Namun, kerajaan mempertikaikannya, dan menegaskan bahawa denda dikenakan ke atas AmBank dan penyelesaian bersama IPIC tidak merangkumi skop jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion,” katanya.

Johari berkata, Pasukan Petugas 1MDB sedang menyemak sama ada perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia pada masa itu gagal melaksanakan tugas fidusiari mereka atau cuai dalam Perjanjian Penyelesaian.

“Kesilapan di pihak perunding dan peguam, yang gagal merundingkan dengan adil dan jelas Penyelesaian Perjanjian telah menjejaskan kedudukan Kerajaan Malaysia dalam pertikaian ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI