GEORGE TOWN – Laman Facebook Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ‘diserang’ pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan insiden gangguan bekalan air buat kali ketiga di negeri ini bermula petang tadi.
Tinjauan Kosmo! Online di Facebook PBAPP mendapati, ribuan pengguna meletakkan tanda marah dan sedih dengan kejadian paip pecah di dasar Sungai Perai yang mengakibatkan lebih 40 kawasan di daerah Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai terputus bekalan air sejak pukul 6 petang.
Kawasan terjejas di daerah Barat Daya adalah Bayan Baru, Bayan Lepas, Bukit Gedung, Teluk Kumbar, Sungai Ara dan Bukit Jambul, Batu Maung, Permatang Damar Laut serta di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ).
“Kena pelan apa nak buat dengan paip sedia ada, musim perayaan bakal tiba ni, dah perlu ada rencana untuk elak dan atasi isu macam ni,” kata seorang pengguna.
“Berapa lama pula tiada air, sudahlah kami tidak sempat simpan air. PBAPP tolong kemas kini segera tempoh baik pulih,” ujar seorang lagi pengguna.
“Lagi dan lagi berterusan masalah air bulan ini. Keperitan mengangkut air naik turun tangga bersambung episod lagi…dan yang pasti kami kawasan akhir yang akan terima air nanti,” balas pengguna media sosial lain.
PBAPP meletakkan komen balas kepada seorang pengguna berhubung mesej tular yang dikongsi mengenai tempoh seminggu ketiadaan bekalan air yang didakwa dikeluarkan pihak terbabit.
“Pelanggan yang dihormati, sila ikuti laman rasmi FB PBAPP untuk sebarang kemas kini. Terima kasih,” tulis PBAPP.
Terdahulu, media melaporkan satu lagi kejadian kebocoran besar secara mendadak pada bahagian saluran paip bawah permukaan air 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai, petang tadi.
Kejadian tersebut akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna di negeri ini. – KOSMO! ONLINE