fbpx

Nelayan hilang di perairan Bagan Datuk ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Zufar ditemui dalam keadaan baik di perairan berhampiran Pulau Pangkor semalam. - Foto IHSAN APMM

LUMUT – Seorang nelayan yang hilang di perairan Bagan Datuk sejak kelmarin akibat botnya kehabisan minyak ketika sedang pulang daripada menangkap ikan ditemui selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jarak 9.2 kilometer (km) dari muara Bagan Datuk semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, sejurus Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima aduan berhubung insiden berkenaan, bot ronda pihaknya diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan mangsa namun dia tidak ditemui.

“Operasi Carilamat telah diaktifkan dengan pembahagian tiga sektor pencarian dengan keluasan keseluruhan 78.3 km persegi melibatkan aset daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti nelayan
setempat.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti nelayan Tanjung Kepah Sungai Tiram, Lekir Perak bagi mengkoordinasi Operasi Carilamat tersebut sejurus ia diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, PHC telah dimaklumkan penemuan bot mangsa oleh komuniti nelayan setempat dalam keadaan terapung dan telah hanyut pada jarak 21.4km barat Pulau Pangkor sekitar 5.10 petang semalam.

Mohd. Hambali berkata, sebuah bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi penemuan bot mangsa bagi melakukan pengesahan dan menemukan mangsa yang dicari berada
dalam keadaan baik dan selamat.

“Mangsa, Muhammad Zufar Zulkefli, 31, telah ditemui selamat dan bot telah diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserahkan kepada keluarga mangsa.

“APMM mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika keadaan laut tidak menentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI