KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan harta.
Bagaimanapun Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya minta bicara,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa telah dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(b) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Ia yang mana, tertuduh tidak mengisytiharkan harta-harta seperti yang dinyatakan dalam lampiran A antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara
tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd. Azmi, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry dan Maziah Mohaide manakala peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin mewakili Na’imah.
Tarikh 22 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE