PUTRAJAYA – Tindakan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menunjukkan dirinya tawaduk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihak penganjur Yayasan Nurjiwa sudah pun memberikan pencerahan dan Wan Salim mendengar penjelasan mengenai isu konsert itu.
“Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang tawaduk atau merendah diri, waima ilmunya lebih tinggi malahan dihormati umat Islam.
“Beliau ada perasaan hormat dan apabila memohon maaf, ia tidak pula bermaksud mufti tersebut sebagai lemah atau tunduk tekanan kerana ini juga adat kaum Melayu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil Sulh-Mediasi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di sini, hari ini.
Ahad lalu, Wan Salim tampil terbuka memohon maaf kepada penyanyi wanita tersebut kerana menegurnya menganjurkan konsert di ibu kota menjelang bulan Ramadan.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im memaklumkan, kerajaan Malaysia telah mengemukakan rayuan untuk pertambahan kuota jemaah haji negara ini bagi musim ibadah berkenaan pada pertengahan Jun depan.
Menurut beliau, permohonan rayuan tersebut dikemukakan terus kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
Sementara itu, menyentuh isu penyelesaian kes sulh di mahkamah syariah sepanjang tahun lalu, Mohd. Na’im berkata, angkanya melonjak kepada 88.98 peratus daripada 11,921 kes dibawa.
Statistik tersebut jelasnya, menunjukkan ada peningkatan berbanding rekod pada 2023 yang mencatatkan cuma 88 peratus atau 8,513 kes daripada keseluruhannya 9,724 kes. – KOSMO! ONLINE